Pemuda berpendirian tegasdan keras, fenomena pengkhianatan dan pencabulan mandat rakyat tidak boleh dikompromikan. Justeru, kestabilan mandat hanya boleh dijamin melalui komitmen parti untuk melakukan pembaharuan dan transformasi politik menyeluruh untuk negara.
Dengan ini Pemuda mencadangkan tiga agenda transformasi terhadap institusi dan penjernihan budaya politik negara harus disegerakan.
Pertama, pemuda mencadangkan agar fungsi pendakwaraya dikeluarkan daripada peranan Peguam Negara bagi menjamin kebebasan fungsi dan peranan pendakwaraya yang kini berada di bawah Jabatan Peguam Negara.
Atas prinsip keadilan dan mengelakkan daripada konflik kepentingan terutamanya menyentuh pendakwaan politik terpilih, seorang peguam negara yang dilantik atas nasihat Perdana Menteri tidak wajar menasihati kerajaan dan pada masa sama menggunakan kuasa melakukan pendakwaan.
Kedua, Pemuda memdesak agar Akta Anti Lompat Parti dibahas dan diluluskan segera. Undang-undang ini adalah satu keperluanbagi memastikan rakyat kembali percaya kepada sistem demokrasi negara.
Rakyat mesti diberikan keyakinan bahawa undi mereka bukanlah sia-sia. Negara ini mesti ditentukan nasibnya oleh rakyat dan bukannya oleh 222 elit politik dalam Dewan Rakyat.
Ketiga, Pemuda menggesa agar kerajaan segeea membentangkan Akta Pendanaan Politik. Melalui undang-undang ini, segala sumber kewangan parti wajar dilaporkan secara telus agar rakyat dapat memastikan tiadanya sebarang unsur rasuah mahupun salah guna kuasa.
Cukup banyak parti yang bermuka-muka. Kononnya parti mereka muda dan datang dari denyut nadi rakyat.
Kononnya parti mereka segar dan dana mereka datang dari simpati penyokong sahaja.
Sedangkan kita tahu jutaan ringgit yang mereka belanja sebenarnya datang dari cukong-cukong dan tauke-tauke yang melabur wang bagi menjadikan parti itu tunduk kepada kepentingan mereka semata-mata.
Justeru tiga agenda transformasi yang diangkat oleh pemuda adalah atas kesedaran untuk kita kembali menjernihkan budaya politik, memelihara demokrasi dan mempertahankan mandat rakyat.