ADUN Telemong, YB Dato' Haji Rozi Mamat menggesa pihak Kerajaan Negeri (PAS) dan TNB serta Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu menyiasat punca balak hanyut di Kenyir dan beberapa lokasi lain melibatkan Daerah Hulu Terengganu.
Beliau berkata kawasan sekitar Tasik Kenyir bukanlah kawasan pembalakan. Bagaimanapun, katanya, ratusan batang dan sisa balak dihanyutkan arus di beberapa kawasan sekitar Tasik Kenyir.
"Pokok balak dikatakan tumbang dan dihanyutkan arus sehingga menyebabkan berlaku runtuhan tebing di beberapa lokasi di Tasik Kenyir," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan bantuan air bersih dan bakul makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Tadok, di sini, hari ini.
Selain Kenyir balak hanyut juga dikesan di Kg. Belukar Bukit, Hulu Terengganu.