Surat Terbuka Untuk Tan Sri Annuar Musa
Assalamualaikum Tan Sri
Saya terpanggil sekali lagi untuk memberi teguran tentang posting Tan Sri semalam.
Saya ingin mengingatkan Tan Sri dan juga pemimpin pemimpin UMNO yang lain baik diperingkat pusat mahupun diperingkat bahagian supaya jangan memandang sebelah mata pada ahli UMNO yang tidak memegang sebarang jawatan kerana setiap ahli UMNO samaada berjawatan atau tidak tetap mampu memberikan sumbangan dan buah fikiran masing masing tentang halatuju dan apa saja yang berlaku dalam parti.
Barang diingat, setiap kali pilihanraya maka ahli ahli UMNO yang tidak berjawatan inilah yang bertungkus lumus memastikan kemenangan parti
Barang diingat, semasa BN kalah PRU14 dan UMNO tidak lagi menerajui kerajaan, ahli ahli yang tidak berjawatan inilah yang telah memikul tugas meniupkam semula roh perjuangan kepada pemimpin pemimpin UMNO baik diperingkat pusat mahupun diperingkat bahagian yang lesu macam ayam berak kapur!
Barang diingat, sedang ramai pemimpin UMNO yang ketakutan diugut oleh Mahathir dan ada yang melompat parti, ahli ahli UMNO yang tidak berjawatan inilah yang telah bertempur dengan pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan dan juga pihak berkuasa siang dan malam samaada dimedia sosial mahupun dijalanraya.
Barang diingat, semasa ramai pemimpin pemimpin UMNO masih lesu dan ada yang menyembunyikan diri, baik diperingkat pusat mahupun diperingkat bahagian, ahli ahli UMNO yang tidak berjawatan inilah yang telah menyeru penyokong penyokong UMNO yang bukan ahli supaya beramai ramai menyertai UMNO manakala sebahagian besar lagi telah menubuhkan berbagai bagai NGO yang telah berjuang selama 22 bulan sehingga Pakatan Harapan tumbang.
Tak ramai pemimpin UMNO yang tahu betapa peritnya ahli ahli yang tidak berjawatan ini berjuang tanpa bantuan apa apa wang ringgit dari pemimpin atasan. Tak ramai pemimpin pemimpin UMNO yang tahu betapa peritnya diganggu oleh pihak yang memegang kuasa semasa Pakatan Harapan memerintah.
Saya ingin mengingatkan Tan Sri yang kepimpinan bukan diukur dengan jawatan yang dipegang akan tetapi pengaruh yang boleh menggerakkan sesuatu atau dalam bahasa inggerisnya, "leadership is not measured by position but level of influence"
Akhir sekali saya nak bagi tau Tan Sri yang UMNO sentiasa mempunyai ramai ahli yang tidak berjawatan yang jauh lebih cerdik dari Tan Sri dan mereka yang berjawatan tapi tidak berpeluang memimpin kerana ramai orang macam Tan Sri yang dah pegang jawatan berpenggal penggal tapi enggan berundur dan mnggunakan kelebihan kewangan yang ada untuk terus memegang jawatan!
Ramai juga yang berkaliber telah dicantas siang siang oleh mereka yang gila nak berpegang pada jawatan berpenggal penggal macam Tan Sri.
Ada hikmahnya UMNO kalah pada PRU14. Ramai juga Ketua Bahagian UMNO yang "menyorok" dan "lari" lalu mereka diganti oleh muka muka baru yang tidak kurang hebatnya!
Sekian
Ahli UMNO Biasa