PAS GILA TALAK DENGAN UMNO?


 

Oleh: Ariffaizal Mohd Nor Ariffin


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man, menjawab kenyataan Presiden UMNO Zahid Hamidi, berhubung sikap “talam dua muka” parti PAS. Alasan yang digunakan ialah Penyatuan Ummah lebih penting untuk berhadapan dengan “ancaman kepada masa depan Melayu Islam”.


Sebenarnya ancaman terhadap Melayu islam itu sentiasa wujud. Malah tindakan PAS khianati Muafakat Nasional (MN) apabila secara sulit mendaftarkan Perikatan Nasional (PN) adalah tindakan yang memecahkan perpaduan ummah itu sendiri. Kewujudan PN telah membuka ruang kepada musuh melakukan pecah dan perintah.


Tuan Ibrahim juga mendakwa bahawa MN hanyalah platform sebagai landasan politik ke arah perpaduan ummah. Dakwaan ini menampakkan kurang cerdik beliau kerana perpecahan ummah adalah disebabkan oleh perbezaan fahaman politik itu sendiri.


Parti PAS itu wujud dengan memainkan retorik dan sentimen agama dalam memanipulasi umat Melayu islam. Pelbagai fatwa yang dikeluarkan oleh PAS telah menyebabkan banyak perselisihan di kalangan umat islam yang memberikan kesan jangka panjang.


Berbalik kepada alasan Tuan Ibrahim berkenaan ancaman terhadap Melayu Islam. Adakah ketika PAS mendaftarkan PN, ancaman ini sudah tidak relevan lagi?


Hari ini apabila PAS gila talak dengan UMNO, adakah wujud semula ancaman ini?


Tuan Ibrahim juga mendakwa bahawa UMNO Selangor tidak sependapat dengan Presiden UMNO. Sebenarnya ini dakwaan yang silap kerana UMNO Selangor telah diberikan kebenaran dan autoriti untuk jalin kerjasama dengan PAS. Sekiranya Tuan Ibrahim mahu UMNO Pusat mengikut cara UMNO Selangor, adakah PAS Terengganu dan Kelantan ingin mengikut PAS Pusat?


Lebih melucukan lagi apabila Tuan Ibrahim mengatakan bahawa ancaman terhadap BN itu adalah PN berdasarkan kepada dua keputusan PRN sebelum ini. Amat jelas betapa tidak realistiknya hujah tersebut yang bercanggah dari fakta sebenar. Keputusan PRN Melaka dan Johor menunjukkan kerusi yang dimenangi oleh PH adalah lebih berbanding PN.


PPBM sanggup khianati PAS apabila membuat rundingan untuk menyertai khemah besar bersama-sama Pakatan Harapan. Maka sebab itulah pemimpin-pemimpin PAS kelihatan seperti ingin jalin semula kerjasama MN. Tetapi sungguh menghairankan kenapa PAS masih belum bubarkan PN?

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.