12 Feb ditetapkan untuk keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Marang

 

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Isnin (30 Jan) menetapkan 12 Feb untuk keputusan bantahan awal petisyen pilihan raya Marang.

Dalam prosiding pada Isnin, hakim Datuk Hassan Abdul Ghani mendengar hujah daripada peguam Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mewakili Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang (PAS), dan peguam Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mewakili pempetisyen Jasmira Othman (Umno).

Hakim juga meminta pempetisyen dan responden mengemukakan hujah tambahan sebelum 6 Feb.

Pada 3 Jan lepas, Umno Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan kerusi Parlimen Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengerusi Badan PerhubunganUmno Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata antara perkara yang dibangkitkan dalam petisyen itu ialah dakwaan PAS telah merasuah pengundi dengan mengagihkan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri melalui inisiatif i-Pencen, i-Belia dan i-Siswa antara 15 dan 17 Nov lepas, 2022, iaitu hanya beberapa hari sebelum PRU15.

Pada PRU15, Hadi mengekalkan kerusi Marang dengan majoriti 41,729 undi, menewaskan tiga calon lain iaitu Jasmira dari Barisan Nasional, Azhar Ab Shukur dari Pakatan Harapan, dan Dr Zarawi Sulong dari Pejuang.


Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.