Khairil, Fadhli, dulu dan kini puak-puak kamu (PN) yang suka tuduh orang lain rasuah - Isham Jalil

Khairil, Fadhli, dulu dan kini puak-puak kamu (PN) yang suka tuduh orang lain rasuah dan kononnya kamu bersih.

Tetapi baru dilihat kini bahawa sebenarnya puak-puak kamu yang paling banyak rasuah orang. Tanpa segan silu dan rasa malu puak-puak kamu rasuah pengundi dengan menggunakan nama Allah. Mungkin Allah SWT ingin buka dan tunjukkan kebatilan ini.

Dan bila rakyat lapor polis dan fail petisyen ke atas rasuah kamu, kamu keluar “dalil” dan panggil rasuah kamu itu “sedekah”.

Selepas itu puak kamu kata ia bergantung kepada niat pula, dan kononnya orang lain pun buat juga. 

Dan bila ditanya dari mana kamu dapat duit berbillion untuk merasuah pengundi semasa pilihanraya dan adakah ia dari rundingan terus projek tebatan banjir RM15 billion, puak kamu tipu dan kata kononnya surat setuju terima untuk projek itu belum keluar padahal sebahagian projek telahpun berjalan. 

Sekarang kamu kata UMNO pula tiada keabsahan moral untuk persoal kamu buat rasuah dan kamu tuding jari dan tuduh UMNO macam-macam lagi untuk tutup rasuah kamu.

Semasa zaman Rasulullah, ada golongan yang perangainya macam puak-puak kamu ini, di luar nampak alim dan selalu mengguna agama dan menunggang ayat-ayat Al-Quran tetapi di belakang buat perkara batil, mereka digelar munafik. Rasulullah benci dan memerangi orang-orang munafik. 

Mungkin sejak kamu berkawan dengan PPBM ini tabiat kamu semakin teruk. Dan mungkin kamu sudah selesa dan memilih jalan yang sesat. Kamu tidak lagi guna tin milo tetapi sudah pandai duduk hotel lima bintang semasa kempen pilihanraya sehingga sudah tidak boleh membezakan antara sedekah dan rasuah. Usah gelap mata dengan duit.

Matlamat untuk menang tidak menghalalkan cara. Biar kita bersusah atas landasan perjuangan yang betul dan ikhlas dari bersenang atas landasan perjuangan yang salah. Keberkatan dalam perjuangan dan bagaimana kita menang itu penting, bukan sahaja matlamat kemenangan itu sahaja. Biar kita kalah bermaruah dari menang dengan rasuah.

Muhasabah dan bertaubatlah sebelum terlambat. Kembalilah ke jalan yang lurus. Ikhdinas siratal mustaqim. 

Ikhlas dan salam,
ISHAM JALIL
24 Januari 2023
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.