Maafla sahabatku. Kesatuan bukan hanya dibina dengan bicara tetapi dengan perlakuan.
Kita semua tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat jawatankuasa induk MN dulu yang saya juga salah seorang ahlinya. Kita semua PAS dan UMNO bersetuju untuk tidak tergesa-gesa mendaftarkan MN atau PN sementelah nama MN telah ada pihak yang mendaftarkan nama tersebut di ROS.
Namun, siapa yang menandatangani surat bagi pihak parti bersetuju menubuhkan Perikatan Nasional tanpa diketahui oleh pimpinan parti yang lain termasuk Timbalan dan 2 Naib Presiden apatah lagi MSU.
Setelah pecah dan bocor barulah diperakui dalam mesyuarat jawatankuasa kerja PAS Pusat dalam keadaan marah-marah.
Itulah permulaan kepada perpecahan antara PAS dan UMNO dalam MN setelah mana ahli PAS dan UMNO disatukan dengan penuh kegembiraan dan ketulusan penyokong dua parti.
Dan ada soalan yang wajar juga ditanya, bila kelulusan penglibatan dengan PN dibawa ke mesyuarat MSU atau ke Muktamar?
Saya tidak berhasrat mengungkit kisah lama yang sudah berlalu dan sudah menjadi akademik tetapi wajar juga diperingatkan apabila ada pihak yang tanpa henti memberi persepsi bahawa UMNO tidak mahukan kerjasama dengan PAS.
Saya perlu berikan kesaksian saya sebagai ahli mesyuarat dan AJK serta ahli MSU yang terlibat dengan semua rundingan dengan MN sama ada di peringkat perbincangan kerusi dan sebagainya.
Saya sendiri masih konsisten mahukan PAS dan UMNO kembali disatukan di bawah satu payung yang boleh mencantumkan semua.
Teguran saya terfokus pada tindak-tanduk segelintir pimpinan PAS sebagaimana saya juga bersedia dikritik atas kelemahan saya sendiri. Dan teguran bukan bermakna membenci peribadi kerana kita tetap bersaudara dan bersahabat meskipun berbeza.
Apa pun, marilah kita bergerak ke hadapan mencari titik persamaan.
Dr Khairuddin Takiri
Sabtu 14.1.2023