UCAPAN DASAR
PRESIDEN UMNO
MALAYSIA
Y.A.B. DATO’ SERI DR
AHMAD ZAHID HAMIDI
PADA
PERHIMPUNAN AGUNG
UMNO 2022
13 JANUARI 2023 / 20
JAMADILAKHIR 1444
السَّلَامُ
عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ ٱللَّهِ وَبَرَكاتُهُ
اللَّهُمَّ صَلِّ صَلاَةً كَامِلَةً
وَسَلِّمْ سَلاَمًا تَامًّا
عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
الَّذِيْ تُنْحَلُ بِهَ الْعُقَدُ
وَتَنْفَرِجُ بِهِ الْكُرَبُ
وَتُقْضَى بِهِ الْحَوَائِجُ
وَتُنَالُ بِهِ الرَّغَائِبُ
وَحُسْنُ الْخَوَاتِيْمِ
وَيُسْتَسْقَى الْغَمَامُ
بِوَجْهِهِ الْكَرِيْمِ
وَعَلىَ آلِهِ وَصَحْبِهِ فِيْ
كُلِّ لَمْحَةٍ
وَنَفَسٍ
بِعَدَدَ كُلِّ مَعْلُوْمٍ لَكَ
Yang Berbahagia, Tan Sri Pengerusi Tetap
YB Dato Seri Utama Timbalan Presiden
UMNO
Yang Berhormat / Yang Berbahagia Naib-Naib Presiden
Yang Berhormat Ketua Wanita UMNO
Malaysia
Yang Berbahagia Ketua Pergerakan Pemuda
dan Puteri UMNO Malaysia
Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO
Malaysia
Keluarga besar dan para penyokong UMNO
yang saya hormati sekalian
1.
Tatkala merenung ke bawah, seawal saya
memasuki Dewan Merdeka sebentar tadi, saya melihat wajah-wajah saudara saudari
sekalian, terdetik di hati saya, In Sha Allah dengan izin-Mu jua ya Allah,
parti keramat ini masih punya masa hadapan yang cerah.
2.
Manakan tidaknya, daripada raut wajah
saudara saudari sekalian, saya dapat merasakan,
parti ini masih didukung oleh para pemimpin akar umbi, yang terpancar
ketulusan dan keikhlasan di wajahnya. Walau dibadai tsunami ganas politik,
saudara saudari tetap istiqamah dan setia di bawah lembayung UMNO. Terima
kasih, terima kasih seikhlasnya daripada saya buat saudara saudari sekalian.
3.
Saya zahirkan perasaan ini kerana saya
yakin, setiap daripada kita yang hadir, pada Perhimpunan Agung kali ini, datang
dengan pengakuan yang sama. Bahawa, semua
daripada kita bertanggungjawab atas jatuh bangunnya UMNO.
4.
Jika mahu dicari punca, kitalah
puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah. Jika mahu dibangunkan
semula, kitalah yang mesti menerajuinya.
Saudara saudari
sidang perwakilan sekalian
5.
Saya memulakan ucapan dengan menzahirkan
gejolak rasa, yang ada di hati saya, kerana inilah medan untuk kita berterus
terang. Perhimpunan Agung adalah tempat untuk kita merenung sejenak ke belakang,
bagi membolehkan kita terus mengorak langkah ke hadapan.
6.
Apatah
lagi Perhimpunan Agung UMNO
2022, diadakan dalam suasana negara kini, berada di bawah landskap politik yang
baharu. Kita berhimpun pada kali ini setelah melalui perhitungan rakyat, pada Pilihan Raya Umum Ke-15...19 November 2022
yang lalu.
7.
Sudah
semestinya kita perlu terbuka mentelaah jejak-jejak yang telah kita lalui. Ini bagi
menjadi pedoman, untuk kita meneruskan
laluan yang pasti ada likunya, ada pendakiannya, ada curamnya dan tidak kurang
juga halangan-halangan.
8.
Kita
berusaha selepas kekalahan pada PRU Ke-14, dengan mula merangka beberapa
strategi politik. Kita membaca dan menilai beberapa pendekatan parti-parti seangkatan
dengan UMNO, yang pernah jatuh seperti LDP di Jepun, Golkar di Indonesia dan
Congress Party di India. Ada yang berjaya kembali ke tampuk kekuasaan, ada yang berada dalam tampuk pemerintahan walaupun
tidak memegang teraju dan ada yang sehingga kini tidak berjaya bangkit semula.
9.
Sebelum
perletakan jawatan Perdana Menteri Ke-7, pasukan kita amat jitu. Mereka yang terpilih selepas pemilihan parti
pada tahun 2018, menjadi barisan hadapan untuk melonjakkan semula citra parti.
Ada yang terus menyepi dan tidak kurang juga melompat lari. Namun pada ketika
itu, suara kita satu sahaja. Mewakili UMNO dan Barisan Nasional.
10. Beberapa langkah politik
yang kita ambil, merubah landskap dan sudut pandang rakyat terhadap politik. Sedikit
demi sedikit, UMNO kembali diyakini. Apatah lagi tanpa perlu kita apologatik,
faktor Bossku, Dato’ Seri Najib menjadi antara
penyumbang utama, kembalinya sokongan rakyat kepada UMNO dan Barisan
Nasional.
11. Walaupun terdapat segelintir
pemimpin dalaman kita sendiri, yang cuba
menonjolkan diri, ingin menafikan faktor kebangkitan semula UMNO ketika itu.
Namun, kita terus bergerak ke hadapan. Tatkala kita memulakan penyatuan ummah, ada
pandangan yang menyatakan gerakan
politik ini bahaya. Ia dikatakan akan mewujudkan sitiuasi politik yang tidak
sihat dan tidak seimbang. Ini memandangkan kita adalah sebuah negara majmuk,
pelbagai latar suku dan agama. Kita tidak boleh membentuk gerakan politik yang
terlalu kanan (far right).
12. Begitu juga apabila fenomena
Bossku melanda negara, kelompok kecil di kalangan kita, terus menadakan suara
mempertikaikan Bossku. Diulang-ulang isu mahkamah beliau, walaupun kita tahu, ia adalah pendakwan
politik dan terpilih.
13. Ironinya pada masa yang sama,
kelompok ini tidak pula mahu bersama kepimpinan parti ketika itu. Mereka menjauhkan diri. Kononnya dengan
alasan bertanggungjawab atas kekalahan parti. Tidak kurang juga setelah tewas
dalam pemilihan mereka terus menyepikan diri.
14. Ketetentuan Allah, kita
dilorongkan menjadi sebahagian dariapda kerajaan pada Mac 2020. Namun sebelum
menyertai kerajaan, selepas kejatuhan
kerajaan PH pada Februari 2020, UMNO terus menuntut agar mandat dikembalikan
semula kepada rakyat. Kita mahu sebuah
kerajaan yang mempunyai keabsahan dengan mandat rakyat.
15. Bagaimanapun, atas
pertimbangan kepentingan negara dan rakyat ketika itu, serta sesuai dengan titah oleh Yang di-Pertuan
Agong bersandarkan Perlembagaan Persekutuan, kita tampil bersama-sama membentuk
kerajaan.
16. Saya menyentuh rentetan
peristiwa ini bagi mengingatkan, langkah-langkah
yang telah kita ambil untuk mengangkat
semula parti ke persada. Jangan kita lupa bahawa barisan kepimpinan parti,
sentiasa menilai arus politik untuk melonjakkan parti. Ketika itu langkah kita
sederap, suara kita sekata dan gandingan kita mantap.
17. Rupa-rupanya ujian kuasa
yang diberikan Allah, adalah lebih berat daripada ujian kita kehilangan kuasa.
Saya diserang kerana pembentukan kerajaan, turut dibarisi oleh ahli kabinet yang tidak
dilihat mewakili gerakan kebangkitan parti ketika itu. Sebagai Presiden, saya tidak bersama kabinet.
Itu bukan soal besar kepada saya. Asalkan
parti kita kembali berada di Putrajaya.
18. Kejayaan kita membarisi
Jemaah Menteri, memberikan semangat baharu kepada parti dan ahli-ahlinya.
19. Namun seperti saya sebutkan,
ujian kuasa yang diberikan Allah lebih
berat. Ujian ini telah makin melunturkan kesatuan dalaman kita. Langkah kita
mula tempang, suara kita juga mula bercabang, keutamaan parti semakin hilang.
20. Ujian ini semakin berat,
apabila kita pula menerajui kerajaan, menjelang ambang kemerdekaan negara pada
21 Ogos 2021. Pembentukan kerajaan ketika itu, adalah usaha gerakan dan
strategi parti. Kegagalan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ke-8, yang diwarnai
dengan kesengsaraan hidup rakyat, menuntut kita menyelamatkan negara dan
rakyat.
21. Akan tetapi, harga kejayaan kita merubah kepimpinan negara,
rupanya terlalu mahal terpaksa ditanggung oleh parti. Saya tidak berhasrat
untuk memperincikannya di sini kerana dalam Taklimat Presiden, saya telah pun berterus terang
mengenai perkara berkenaan.
Saudara
saudari sekalian
22. Saya nukilkan secara ringkas
latar belakang perjalanan kita selepas PRU-14, sebagai ingatan untuk meneruskan
langkah, selepas perhitungan rakyat pada
PRU Ke-15. Kita perlu sentiasa ingat, walaupun kita berada di Putrajaya, nadi
kita tetap di sini, di rumah agam UMNO ini. Setiap langkah yang bakal kita ambil, rumah
kita ini jangan kita tinggalkan. Keberadaan kita di Putrajaya, adalah hasil
percaturan kita di sini.
23. PRU-15
ditakdirkan kita hanya memperolehi 30 kerusi Parlimen, berbanding 43 kerusi
yang kita wakili ekoran pelbagai episod pengkhianatan selepas PRU-14 lalu.
24. Kekalahan ini sudah tentu
mengundang pelbagai pandangan dan desakan,
malah tidak kurang juga kecaman. Namun apa yang lebih penting kini,
bagaimana kita mahu mengorak langkah ke hadapan.
25. Kita boleh sahaja
menggariskan pelbagai alasan dan punca, dengan menuding jari ke sana sini. Akan tetapi janganlah kita menjadi
telunjuk lurus kelingking berkait.
26. Saya boleh sahaja
menggariskan; adanya kempen pilihan raya
calon kita memburukkkan partinya sendiri. UMNO katanya parti korup, sudah sesat
dan pelbagai nista dilemparkan. Sehingga ucapannya dijadikan modal pihak
pembangkang menyerang UMNO. Boleh juga saya menyebut, poster boy perlu
bertanggungjawab sepenuhnya, kerana beliau menjadi wajah hadapan parti dalam
PRU Ke-15.
27. Jika ini hendak dijadikan
polemik, kita tidak akan bergerak ke hadapan. Kita akan terus mencari-cari
kesalahan. Maka dengan sebab itu, jangan kita nafikan usaha-usaha parti, dalam
menghadapi pilihan raya umum, telah dibuat sebaik mungkin.
Pertama,
kesiapsiagaan gerak kerja dan jentera.
Kedua,
penyediaan dokumen dan akujanji calon.
Ketiga,
persiapan logistik dan kewangan.
Keempat,
proses pemilihan calon.
Kelima,
perbincangan dan perundingan dalaman serta dengan komponen BN.
28. Saya sebutkan lima perkara
utama ini, bagi menjelaskan pelbagai
tohmahan, yang dilontarkan kepada parti ekoran kekalahan pada PRU-15.
29. Kelima-lima proses yang saya
sebutkan tadi, melibatkan semua lapisan kepimpinan dalam parti.
30. Bermula dengan Timbalan
Presiden selaku Pengarah Pilihan Raya, telah bergerak ke seluruh negara,
melalui sesi libat urus dengan Perhubungan Negeri dan Bahagian-Bahagian. Selain
menilai data-data yang ada, soal kesiapsiagaan diberikan penekanan.
31. Taklimat Akta Anti Lompat
Parti kepada Perhubungan Negeri dan keperluan menyediakan dokumen perjanjian
calon dengan parti, di samping penyediaan
akuan-akuan bersumpah juga diberikan. Tujuan semua dokumen ini disediakan, adalah untuk memperjelaskan bahawa, kerusi yang dimenangi pada pilihan raya adalah
merupakan milik parti. Malah akujanji pula, memberikan Ketua Utama Parti,
mandat untuk membincangkan soal pembentukan kerajaan.
32. Proses pemilihan calon,
melibatkan Perhubungan Negeri melalui Pengerusi-Pengerusinya.
33. Rundingan dalaman baik di
peringkat Top Five, Biro Politik mahupun Majlis Tertinggi sentiasa berjalan.
34. Semua proses ini
memperlihatkan, keputusan-keputusan yang melibatkan soal pilihan raya telah
melalui proses rundingan. Malah ketika
itu, baik di peringkat Top Five, Biro Politik mahupun Majlis Kerja Tertinggi,
semuanya berkongsi pandangan, bahawa
tiada satu parti yang mampu membentuk kerajaan secara bersendirian. Maka dengan
sebab itu, rundingan dengan pihak luar perlu diadakan.
35. Pada ketika itu pilihan kita
ada dua sahaja. Pertama BN bersama PAS
dan rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
Kedua, BN tanpa Pas bersama rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
36. Inilah yang menjadi pegangan
pucuk pimpinan, dalam soal pembentukan kerajaan pasca PRU Ke-15. Kita telah
memikirkan post electoral pact. Oleh yang demikian, adalah tidak adil
menuding kononnya, telah ada persefahaman
awal dengan Pakatan Harapan, untuk membentuk kerajaan bersama. Kita tidak
mempunyai perjanjian sulit, sebagaimana perjanjian sulit yang pernah
ditandatangani, tanpa pengetahuan parti sebelum PRU-15. Ini pun tidak perlu
saya perincikan, kerana ia telah menjadi rahsia umum.
37. Tidak adil juga tuduhan
kononnya dalam soal pemilihan calon, Presiden bertindak bersendirian. Daripada 119 calon UMNO, hanya enam (6)
sahaja yang bertukar di saat akhir, atas
beberapa pertimbangan. Bakinya 113, adalah hasil rundingan dengan Pengerusi
Perhubungan Negeri bersama Top Five.
38. Saya sebutkan dua perkara
utama ini, kerana ia secara sendirinya boleh meleraikan segala nista dan cacian
yang dilemparkan kepada parti. Khususnya terhadap saya secara peribadi. Apakah
dengan usaha yang melibatkan semua struktur kepimpinan parti, boleh dijadikan
alasan kononnya saya mengecilkan peluang kemenangan? Apakah dengan menampilkan
muka-muka baharu, sebagai satu proses
pembaharuan dalaman parti, juga merupakan satu langkah mengecilkan peluang
kemenangan? Atau apakah mengurangkan persepsi UMNO adalah parti war lord,
juga boleh ditafsir sebagai langkah mengecilkan peluang kemenangan parti?
39. Jika muka baharu tewas pada
PRU-15, muka lama dengan nama besar juga tewas.
Saya sendiri ditentang oleh tokoh dalam Parti Keadilan Rakyat di Bagan
Datuk. Apakah ini bermakna, saya ada perjanjian
sulit dengan Pakatan Harapan? Apakah saya sendiri mahu mengecilkan peluang
kemenangan saya di Bagan Datuk? Saya kira dengan iman yang ada, tepuk dada
tanya selera.
40. Memilih gabungan parti lain
sebagai gabungan bagi membentuk Kerajaan Perpaduan, adalah bersandarkan persefahaman
awal di peringkat parti kita, bahawa
tiada mana-mana parti boleh membentuk kerajaan.
41. Saya pernah membayangkan
perkara ini semasa Ucapan Dasar Presiden Tahun 2020. Izinkan saya untuk memetik
semula bait-bait ucapan berkenaan di para 49, 50 dan 51 ucapan berkenaan. Saya
petik:
“Adakah sesuatu yang
mustahil untuk UMNO dan rakan-rakan kongsi politiknya membina “political reset”
yang akan mewarnai landskap politik baharu di negara ini? Biarpun tanpa perundingan dengan mana-mana
pihak setakat ini, saya dapat merasai impian rakyat yang amat mengharapkan
kewujudan sebuah ‘unity government’ demi kestabilan politik negara.
“UMNO sangat terbuka
untuk melakukannya selepas PRU-15 nanti. Namun, terlebih dahulu UMNO wajib
terus direlevankan dan mendominasi politik tanah air. Justeru, kita perlu
dominan, baharulah kita relevan.
“Untuk itu, kepimpinan
UMNO di semua peringkat dan seluruh akar umbi harus berlapang dada dan
berfikiran terbuka untuk menghadapi reset politik ini”
Itulah ucapan saya semasa Perhimpunan
Agung UMNO 2020 yang telah pun diluluskan sebagai dasar parti.
42. Kemudian ada yang bertanya
kenapa Pakatan Harapan dan tidak Perikatan Nasional?
43. Pertamanya, kita telah
mengadakan rundingan dengan Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, secara
berasingan dua hari selepas PRU-15. Dalam perundingan tersebut, kita telah
meletakkan beberapa asas utama, termasuk
dalam soal Islam / Melayu dan Bumiputera, yang perlu disepakati bersama. Begitu juga dalam soal pembentukan kabinet.
Malah dalam cadangan kita, kita menetapkan agar kerajaan yang dibentuk, ia
tidak boleh diidentitikan dengan nama parti. Sebaliknya mestilah dikenali
sebagai KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.
44. Pakatan Harapan secara
bertulis, menyatakan persetujuan, , terhadap perkara-perkara asas utama yang
perlu disepakati Bagaimanapun Perikatan
Nasional dalam maklum balasnya, hanya menyebut SEDIA MEMPERTIMBANGKAN
perkara-perkara yang telah kita usulkan.
45. Keduanya,
seperti diketahui umum, penolakan Perikatan Nasional terhadap titah usulan Yang
di-Pertuan Agong, untuk dibentuk kerajaan perpaduan. Penolakan ini disebabkan
ketua Perikatan Nasional mendakwa, telah
mempunyai jumlah Akuan Bersumpah yang mencukupi, untuk membentuk kerajaan. Akuan Bersumpah ini
katanya, termasuk 10 daripada wakil
Barisan Nasional yang telah memenangi kerusi Parlimen pada PRU-15.
46. Ini juga menjadi faktor
kenapa kita tidak boleh bersama Perikatan Nasional. Belum pun subuh, pengkhianatan telah dibuat
terhadap parti kita. Lebih menyedihkan, ia diatur oleh orang kita sendiri.
Sedangkan seperti yang saya sebutkan tadi, kita telah ada dokumen perjanjian
dan akuan bersumpah serta akujanji, kerusi
yang dimenangi adalah milik parti.
47. Atas sebab itu, kita
berbincang dan bersetuju, untuk membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan dengan
rakan-rakan dari Sabah dan Sarawak.
48. Apabila keputusan ini
dicapai, muncul pula suara-suara dalaman kita dengan hujah, bukankah kita telah
buat keputusan No Anwar, No DAP. Namun kelompok
yang bersuara ini, tidak pula menyebut
Perhimpunan Agung UMNO juga membuat ketetapan NO BERSATU. Dibangkitkan lagi
tuduhan kita melanggar keputusan Perhimpunan Agung yang telah menyatakan No
Anwar, No DAP.
49. Namun sebagai sebuah parti
berperlembagaan, kita membuat keputusan sesuai dengan Perlembagaan UMNO. Dalam Perlembagaan kita Fasal 9.1 menyebut “Majlis
Kerja Tertinggi adalah menjadi badan yang menjalankan pentadbiran hal-ehwal
UMNO di bawah kekuasaan dan perintah Perhimpunan Agung dan Majlis Kerja
Tertinggi adalah berkuasa menjalankan sebarang langkah bagi pihak Perhimpunan
Agung pada masa ketiadaannya tetapi segala langkahnya itu hendaklah dimaklumkan
kepada Perhimpunan Agung”.
50. Selain itu, pendirian kita
adalah selaras dengan perakuan yang kita berikan kepada Yang di-Pertuan Agong,
untuk menerima titah usulan Baginda,
supaya diwujudkan Kerajaan Perpaduan. Pada masa yang sama Pakatan
Harapan juga bersetuju dengan titah Yang
di-Pertuan Agong sebaliknya Perikatan Nasional menolak titah berkenaan.
51. Makanya, sesuai dengan Perlembagaan
Parti dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi
telah membuat keputusan, berdasarkan kaedah mempertimbangkan mudarat kecil dan
mudarat besar kepada parti. Malah kita juga turut membuat pertimbangan berasaskan
prinsip demokrasi. Pakatan Harapan mempunyai jumlah kerusi terbanyak, iaitu 82
berbanding 73 yang dimenangi oleh Perikatan Nasional. Rakyat telah memberikan
mandat lebih besar kepada Pakatan Harapan, dan atas semangat demokrasi, kita
memilih jumlah majoriti yang lebih besar. Setelah dibahaskan, Majlis Kerja Tertinggi
membuat ketetapan untuk memilih bersama Pakatan Harapan bagi menubuhkan
KERAJAAN PERPADUAN MALAYSIA.
52. Sekali lagi, ini adalah
pembuktian bahawa, keputusan yang dibuat adalah secara bersama. Mereka yang berada dalam kerangka kepimpinan
parti tahu dan sedar bagaimana keputusan ini dicapai. Walaupun telah ada
akujanji. memberikan kuasa kepada Ketua Utama
Parti, untuk merundingi soal penubuhan kerajaan, kita tetap membuat keputusan,
bersandarkan semangat musyawarah sesama kita.
53. Kendati pada ketika itu, ada
gerakan dibuat, untuk menyingkirkan
Pengerusi Barisan Nasional. Malah kita tahu, ada rundingan pintu belakang telah
diatur dengan Perikatan Nasional. Saya tidak mahu mencanangkan di sini, siapa
dan apakah gerakan itu. Kerana bagi
saya, apa yang telah berlaku, makin menyerlahkan sikap dan nafsu politik
peribadi mereka yang terlibat, tanpa mereka memikirkan mudarat kepada parti.
54. Dengan penjelasan ini, letakkanlah
noktah kepada polemik ini. Saya tahu,
perkara-perkara ini, menjadi modal yang
terus dimainkan, tambahan pula pemilihan parti semakin hampir. Termasuklah,
saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti
khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden. Ada yang mahu kedua-dua
jawatan ini tidak dipertanding dan tidak kurang juga mahu ia dipertanding.
Sebagai seorang democrat, saya serahkan kepada para perwakilan untuk
menentukannya. Namun, saya yakin ahli-ahli UMNO boleh menilai yang
mana kaca yang mana permata.
Saudara
saudari sekalian
55. Kini parti kita sekali lagi
berada di Putrajaya. Walaupun yang
dicita kita mahu menjadi dominan berdasarkan jumlah kerusi, namun takdir mengatur
kita, menjadi penentu kepada pembentukan
kerajaan.
56. Barang sudah pasti, cabaran
di hadapan kita lebih besar. Rakyat
ingin melihat kemampuan serta prestasi kita yang mewakili UMNO dalam kerajaan.
Apakah kita mampu bersama-sama memulihkan ekonomi negara, memakmurkan negara
yang dapat mensejahterakan kehidupan rakyat, serta membawa Malaysia ke arah
yang lebih baik, untuk masa hadapan. Semuanya terletak di tangan wakil-wakil
kita, yang kini berada di dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Menteri dan
Timbalan Menteri.
57. Berbekal rekod perkhidmatan
dan pengalaman yang luas, dalam petadbiran kerajaan, kita berperanan besar
untuk melengkapkan perjalanan kerajaan hari ini.
58. Kunci kepada berjaya atau
tidak kita melaksanakan amanah ini adalah kestabilan. Makanya, dengan Perjanjian
Persefahaman yang telah ditandatangani, oleh parti-parti di dalam Kerajaan
Perpaduan, ia akan menjadi pedoman yang mengikat semua daripada kita. Kestabilan politik dan keharmonian hubungan
antara parti-parti yang berada di dalam kerajaan, In Sha Allah akan dapat mewajahkan
Malaysia yang progresif. Persefahaman ini juga, akan dapat memastikan Kerajaan
Perpaduan Malaysia, melengkapkan pentadbirannya bagi tempoh penggal yang ke-15
ini.
59. Bagi
menjamin kelangsungan Kerajaan Perpaduan Malaysia yang telah disepakati, satu sekretariat
bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia telahpun dipersetujui
untuk beroperasi. Melalui sekreatariat ini, kita akan membincangkan dari semasa
ke semasa, perjalanan kerajaan, di samping membincangkan langkah-langkah ke
hadapan, termasuk dalam soal kerjasama politik.
60. Di
samping sekretariat di peringkat parti, kerajaan juga bersetuju menubuhkan sekretariat
bagi mengkaji semua manifesto parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.
61. Melalui
Pelan Amal dan Usaha atau PADU yang ditawarkan pada PRU-15, kita memberikan aku
janji kepada rakyat. Soal kos sara
hidup, pendidikan, pembangunan institusi dan pendidikan Islam, peluang ekonomi, alam sekitar, peluang
pekerjaan adalah antara yang menjadi tawaran kita. Begitu juga dengan parti-parti lain dalam
Kerajaan Perpaduan, turut mempunyai
tawaran-tawaran kepada rakyat.
62. Sehubungan
itu, melalui sekretariat di peringkat kerajaan, kita mencari titik persefahaman
dan kebersamaan, , bagi menterjemahkan
janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat. Paling ketara, semua parti menyentuh tentang soal kos sara
hidup, yang pada dasarnya boleh
dilaksanakan. Ia merupakan manifesti bersama kesemua parti dalam Kerajaan
Perpaduan. Kita berharap, usaha penterjemahan manifestasi kesemua agenda pembelaan
rakyat, akan dapat dilaksanakan dengan segera.
63. Tambahan
pula, pasca pendemik Covid-19, usaha-usaha pemulihan dan perancangan tidak
seharusnya, hanya tertumpu kepada
aspek-aspek ekonomi semata-mata. Sebaliknya lebih utama adalah soal kesentosaan
serta keamanan hidup rakyat.
64. Dalam
hal ini, idealisme parti dan idealisme kepimpinan utama bukan hanya bersifat
retorik. Terjemahan pelaksanaan dan keberkesanannya, mestilah dapat dirasai
oleh rakyat. Perlakuan dan prestasi kita
di dalam kerajaan, akan menjadi kayu ukur untuk merubah persepsi rakyat
terhadap kita.
65. Antara
fokus yang perlu diberikan segera adalah, kita mahu melihat peluang pekerjaan,
perniagaan, latihan semula dan nilai tambah kemahiran (reskilling dan
upskilling), padanan pekerjaan sesuai dengan kelayakan dilaksanakan. Ini
memandangkan ramai graduan yang tidak menjawat jawatan setara dengan kelayakan
mereka. Kita juga mahu tumpuan turut
diberikan kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah.
66. Maka
dengan itu, satu program besar besaran Technical and Vocational Education
Training (TVET) hendaklah dilakukan. Ia perlu mengambil kira kelompok miskin desa, separa bandar dan
bandar.
67. Dato’
Seri Khaled Nordin sebagai Menteri Pengajian Tinggi, saya mahu beliau
memberikan keutamaan kepada aspek ini. Sinergi dengan Kementerian Pelajaran dan
Kementerian Sumber Manusia, perlu digembeleng untuk memastikan lepasan sekolah
dan graduan kita mempunyai dayasaing dan kebolehpasaran.
68. Penyediaan
sumber tenaga mahir dan berkelayakan, penting untuk meletakkan Malaysia, sebagai destinasi pelaburan, selain daripada faktor
kestabilan politik. Kita mahu menggamit semula pelabur-pelabur luar ke negara
ini. In Sha Allah, dengan persefahaman yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan,
kita mampu menawarkan kestabilan dan dasar yang jelas kepada para pelabur.
69. Menteri
Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, perlu bingkas mengembalikan citra
Malaysia kepada dunia luar. Langkah-langkah drastik menambat hati
pedagang-pedagang luar, perlu segera dilakukan. Malaysia yang mesra pelabur dan
menawarkan iklim pelaburan yang kondusif, perlu juga digarap segera oleh Datuk
Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz.
70. Limpahan
pelaburan asing, sudah tentu akan dapat meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara,
di samping menjana peluang pekerjaan baharu buat anak bangsa kita.
71. Walaupun
fundamental ekonomi kita kukuh tetapi sentimen terhadap iklim pelaburan kita
sebaliknya. Oleh sebab itu soal memberikan tax holiday (cuti
percukaian), insentif kredit baharu mesti diberikan.
72. Regim
percukaian mesti dirombak dan perlu seiring
dengan sistem percukaian dunia, untuk menarik pelaburan langsung asing.
Langkah-langkah menyediakan insentif cukai yang mampan dan bersifat semasa,
pasti akan meredakan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing. Kita perlu
mengembalikan daya saing negara, agar tidak tenggelam dengan kepantasan serta
kerancakan ekonomi negara-negara jiran.
73. Datuk
Seri Azalina pula, dalam agenda pembaharuan institusi ia perlu dilakukan
segera. Kita telah berjaya dalam membawa
akta anti lompat parti. Beberapa pembaharuan institusi lain perlu diteruskan
pada kadar segera termasuk pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
74. Begitu
juga dalam soal keamanan dan keselamatan negara. Saya yakin Datuk Seri Utama
Timbalan Presiden kita, akan dapat
memainkan peranannya dengan berkesan.
Kita mahu negara dijamin keamanannya.
Kebajikan anggota keselamatan kita perlu segera ditangani. Kita jangan
menyalahkan mereka, walaupun mereka
tidak bersama kita pada PRU-15 yang lalu. Kerana kitalah yang seharusnya bertanggungjawab,
untuk memastikan kehidupan mereka yang menjadi benteng negara terbela.
75. Bagi kemajuan desa dan
wilayah, In Sha Allah saya akan menyinsing lengan untuk mengukuhkan semula asas
kekuatan kita di luar bandar. Kita mahu masyarakat di desa tidak terpisah
daripada menikmati arus kemajuan. Kita bertekad untuk meningkatkan
kesejahteraan ekonomi, sosial dan budaya masyarakat desa. Isu-isu kesenjangan,
penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup masyarakat desa akan
diperkasa.
Saudara-saudari
sidang perwakilan
76. Kita
juga mahu melihat alam komunikasi baharu.
Perkembangan teknologi komunikasi, akan memberikan dampak besar dalam
kehidupan rakyat. Liputan 5G umpamanya, yang kini baru mencapai tahap 38 peratus,
perlu dikembang luaskan lebih cepat termasuk bagi kawasan-kawasan desa.
77. Perkembangan
ini penting kerana ia akan membolehkan kerajaan, menggerakkan sistem pendidikan
negara, daripada analog kepada digital.
Dalam tawaran manifesto Barisan Nasional, kita mahu pendidikan sekolah
dilaksanakan secara digital. Tiada lagi beg sekolah berat kerana buku teks
diganti dengan peranti komputer. Perubahan silibus pelajaran juga boleh
sentiasa dikemaskini, mengikut perkembangan semasa, kerana ia bersifat digital
dan bukannya percetakan buku secara fizikal.
78. Pedagogi
pendidikan tradisi perlu diubah mengikut perkembangan terbaharu. Kita tidak
mahu pendidikan di sekolah ketinggalan kerana anak-anak sudah terdedah dengan
ilmu dan maklumat, yang lebih luas di luar
melalui capaian internet.
79. Selain
menyediakan pelajar dengan kebolehpasaran mengikut keperluan industri,
pendidikan juga perlu kepada jurusan bagi mewujudkan budaya keusahawanan.
Perubahan minda perlu diterapkan, bahawa pendidikan bukan hanya untuk
melahirkan golongan pekerja sebaliknya juga pengusaha.
Saudara
saudari sidang perwakilan sekalian
80. Sebagai parti dalam
kerajaan, kita perlu bergerak seiring dan menyatukan pemikiran. Ini
memandangkan, kini soal persepsi seolah-olah menjadi penentu pemilihan sesebuah
kerajaan. Kita telah melaluinya pada PRU
Ke-14 lalu. PRU Ke-15 baru-baru ini, memperlihatkan sikap pengundi yang sudah
tidak lagi memilih middle ground.
Sebaliknya berdasarkan sentimen dan persepsi. Keadaan ini sudah tentu tidak sihat untuk politik Malaysia, yang
terlalu rencam dan pluralistic.
81. Kita
berhadapan antara politik berdasarkan rekod perkhidmatan dan agenda praktikal
demi rakyat dan negara, berbanding dengan politik persepsi populis yang membuat tawaran singkat. Politik nilai, politik khidmat,
ikhtiar untuk membina negara yang terbaik, iltizam politik untuk meletakkan
negara pada landasan ekonomi yang kukuh, semuanya dikesampingkan. Sebaliknya, para pengundi
khususnya pengundi baharu, diasak dengan sentimen perkauman dan persepsi.
82. Bak
kata bidalan, panas setahun hujan sehari, segala bakti yang dicurahkan selama bertahun lamanya, hujan sehari menjadi
banjir kilat menghanyutkan segala jasa yang ditaburkan.
83. Bayangkan pelapis-pelapis
negara kita memulakan langkah politik (political journey) mereka, melalui lensa perkauman dan propaganda
kebencian. Perasaan benci dan prejudis yang melampau ditanam dalam pemikiran
anak-anak muda kita, yang baharu sahaja bersemangat dalam menunaikan
tanggungjawab demokrasi.
84. Sementara kita sedar akan perubahan
sikap dan pemikiran pengundi baharu pada pilihan raya lepas, kita mesti
bersedia mendepani satu lagi gelombang potensi pengundi baharu menjelang PRU
Ke-16. Pelajar-pelajar yang kini berada
di tingkatan dua, adalah merupakan
mereka yang akan menjadi pengundi baharu. Diperkirakan wujudnya kohort 500 ribu,
potensi pengundi baharu setiap tahun menjelang 2027.
85. Sudah tentu pemikiran mereka
berbeza. Lensa politik mereka juga jauh lebih luas dan pelbagai. Soal-soal
pembangunan bukan lagi pertimbangan. Penilaian tidak lagi bersandarkan rekod
masa lampau. Landskap politik tahun-tahun mendatang, sudah tentu berubah dengan pantas.
86. Perubahan demografi dalam
konteks penempatan, kini menyaksikan lebih 70 peratus pengundi berada di
pinggir bandar (sub urban) dan bandar. Ia diiringi pula oleh pertambahan
jumlah pengundi baharu daripada anak-anak kita yang kini dibangku sekolah. Perubahan demografi tempat dan umur ini, akan
menjadi lebih mencabar, kerana ia turut
melibatkan perubahan idea serta pemikiran. Kita tidak harus tenggelam dalam
setiap anjakan landskap politik baharu ini.
87. Parti kita perlu
berubah sesuai dengan kehendak semasa.
i.
Pertama, kita perlu mampu menangkap
imiginasi anak-anak muda ini. Kita
perlu memahami pola fikir mereka. Pada masa kita ingin mendapatkan sokongan
mereka, kita juga bertanggungjawab, mencorak anak-anak muda ini sebagai sumber
penting potensi negara.
ii.
Kedua, kita perlu mempunyai kemampuan
untuk menseimbangkan politik pembangunan dan politik perkhidmatan. Dalam
erti kata lain, kita mesti mampu mengimbangi
the need of the nation versus interest of the citizen (kepentingan
negara berbanding dengan kehendak individu atau kelompok masyarakat); dan
iii.
Ketiga, kita mesti menggarap pemikiran
serta idea baharu setiap peringkat parti, Wanita, Pemuda, Puteri,
kelab-kelab UMNO, parti-parti sahabat dan pemikir-pemikir luar, bagi memastikan parti kita relevan dengan realiti politik semasa.
88. Saya
yakin, dengan tekad kita untuk memperbaharui perjalanan parti pada masa
hadapan, ada potensi untuk kita mendakap semula, sebahagian besar daripada 74
kerusi, yang terlepas daripada tangan
kita sebelum ini.
Saudara saudari
sekalian
89. Kerajaan
Perpaduan yang terbentuk hari ini mempunyai obligasi perundangan dan moral yang
cukup besar terhadap Sabah dan juga Sarawak.
Kedudukan Sabah dan Sarawak bukan lagi berstatus negeri sebaliknya
Wilayah dalam Malaysia.
90. Sehubungan
itu, Perjanjian Malaysia 1963 atau lebih dikenali sebagai MA63, perlu
dilaksanakan segera. Walaupun ada beberapa
perkara pokok yang telah dilaksanakan, masih banyak perkara yang menjadi asas kepada MA63 perlu diterjemah
pelaksanaannya.
91. Tambahan
pula dengan pemindahan ibukota Indonesia ke Kalimantan Timur, kedudukan Wilayah
Sabah dan Sarawak, akan menjadi lebih strategik untuk dibangunkan sebagai
kawasan pertumbuhan baharu.
92. Limpahan
pembangunan di Kalimantan perlu digarap segera agar Sabah dan Sarawak lebih
pesat membangun. Sejak 1963, Sabah dan Sarawak telah banyak menyumbang kepada
pembangunan ekonomi negara, dan kini adalah masa terbaik untuk kita sama-sama
memajukan Sabah dan Sarawak, seiring dengan perkembangan di keseluruhan
kepulauan Borneo termasuk Kalimantan, Indonesia.
93. UMNO
berpendirian, Sabah dan Sarawak adalah rakan politik strategik. Dengan itu, apa pun bentuk kerajaan Malaysia
pada masa sekarang dan masa hadapan, UMNO tetap memilih untuk bersama-sama
dengan rakan-rakan politik dari wilayah berkenaan demi kestabilan Malaysia.
Saudara saudari
sekalian
94. Sebagai sebuah kerajaan yang
bertanggunjawab, UMNO sependapat dengan pelbagai pandangan yang diberikan, agar
soal tatakelola kerajaan mesti dijalankan dengan telus.
95. Kita juga mendengar desakan
dan tuntutan agar forensic audit terhadap perjalanan kerajaan sebelum
ini dilakukan. Ketirisan
yang berlaku perlu ditampung segera. Punca ketirisan mesti disiasat. Agensi
penguatkuasaan mesti mengambill
tanggungjawab. Ini adalah harapan rakyat dan menjadi kewajipan kerajaan untuk memastikan
harapan ini ditunaikan. Perkembangan muktakhir, menyaksikan berlakunya
penahanan berhubung siasatan penyalahgunaan dana awam melebihi RM90 billion,
adalah permulaan yang baik. Ia adalah isyarat yang jelas akan komitmen kerajaan
untuk mengenalpasti mereka yang bertanggungjawab. Prihatin atau bersih,
sama-sama kita tunggu. Apakah prihatinnya demi rakyat atau anak menantu?
Bersihnya pula apakah kepada pulangan komisyen yang diperolehi. Sama-sama kita nantikan.
Saudara saudari sekalian
96. Bagi membolehkan kita
bergerak ke hadapan, saya titipkan harapan buat semua. Sesuai dengan perubahan
sikap, pemikiran dan landskap politik negara, islah dan tajdid
dalam gerakan politik kita perlu berterusan. Cara mana perubahan dan
pembaharuan ini boleh dilaksanakan:
Pertama,
memugar idea-idea baharu.;
Kedua,
memastikan idealisme terus hidup kerana kematian idealisme akan menjerumuskan
kita ke lembah penolakan terutamanya dari generasi muda; dan
Ketiga,
perubahan dalaman jiwa dan minda setiap
daripada kita. Perubahan ini melibatkan watak, sudut pandang, perilaku, nilai
dan budaya kerja.
97. Perubahan dan pembaharuan
ini, tidak datang dengan sendiri kerana ia datang bersyarat, sepertimana firman
Ilahi dalam sebahagian ayat ke 11 surah Ar-Ra’d yang berbunyi:
اِنَّ اللّٰهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتّٰى يُغَيِّرُوْا مَا
بِاَنْفُسِهِمْۗ
Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum
sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri
98. Dengan harapan itu, marilah
kita bersama-sama terus mengorak langkah ke hadapan, kita wajahkan semula
Malaysia sebagai sebuah negara yang بَلْدَةٌ
طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ baldatun
thayyibatun wa rabbun ghafur … negara
yang mengumpulkan kebaikan alam dan kebaikan perilaku penduduknya. Atau lebih
luas, sebuah negara yang mengumpulkan kebaikan dunia dan akhirat.
99. Mari kita gilap semangat dan
idealisme perjuangan parti yang diharapkan rakyat. Daripada latar belakang
kaum, kelas dan profesien yang pelbagai, mari kita jalin semangat setiakawan,
dan kita bina parti ini dengan kekuatan yang satu.
100. Mari kita jayakan tata
kelola politik baharu yang matang dan segar agar UMNO menjadi sebuah parti yang
berdisiplin, cekap dan efisien dan harapan yang diberikan rakyat tidak
disia-siakan.
Sekian, wabilahhi
tawfiq wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh