Satu lagi tanah milik rakyat Terengganu bakal menjadi milik koperasi yang ada kaitan dengan pimpinan PAS. Berikut adalah laporan daripada Terengganu Coverage.
Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah meluluskan tanah seluas 14,355 meter persegi atau kira-kira 3.5 ekar bernilai RM11.84 juta kepada sebuah koperasi milik pemimpin PAS.
Tanah yang bernilai tinggi di Lot PT 2866 Penempatan Tok Adis Fasa II Mukim Kuala Ibai itu dijual kepada Koperasi Khidmat Batu Burok Kuala Terengganu Berhad (Kokhidmat).
![]() |
Yang Dipertua PAS Kuala Terengganu, YB Wan Sukairi Wan Abdullah hadir merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kokhidmat Kali Ke-19 pada 26 November 2022 |
Kokhidmat ditubuh ketika PAS memerintah Terengganu antara tahun 1999 hingga 2004 oleh Yang DiPertua PAS Kuala Terengganu ketika itu, Dato’ Wan Muttalib Wan Embong yang juga Exco Kerajaan Negeri.
Kokhidmat kini dipengerusikan oleh bekas Ahli Jawatankuasa PAS Kuala Terengganu, Wan Musa Wan Embong yang juga abang kepada Wan Muttalib. Timbalan Pengarah PAS DUN Batu Burok, Ustaz Mohd Soud Said yang juga Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) turut menganggotai koperasi itu sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
![]() |
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerima kunjung hormat daripada kepimpinan Kokhidmat di Wisma Darul Iman pada 19 Ogos 2018 |
Tanah yang kini menjadi tapak Pasar Malam Tok Adis telah diluluskan oleh kerajaan negeri kepada koperasi pemimpin PAS melalui keputusan Mesyuarat Exco Kali Ke-6/2021 pada 17 Februari 2021.
Tanah itu dipohon untuk dijadikan tapak perumahan komersil.
Merujuk Notis Bahawa Hasil Tanah Harus Dibayar (Borang 5A, Seksyen 81 dan 82), jumlah premium harus dibayar oleh Kokhidmat kepada kerajaan negeri ialah RM2.36 juta.
Kokhidmat membuat rayuan bagi mengurangkan kadar premium tanah berkenaan melalui surat bertarikh 27 April 2021.
Selepas rayuan, Kokhidmat hanya perlu bayar berapa?
Namun, sebelum keputusan itu dibuat oleh Menteri Besar dan Ahli-Ahli Exco, tiga pihak tidak bersetuju tanah itu diserahkan kepada Kokhidmat.
Pertama, Pentadbir Tanah Daerah Kuala Terengganu menyatakan kawasan itu sesuai disimpan untuk kegunaan kerajaan dan diwartakan di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara. Ia adalah kawasan lapang bagi Penempatan Tok Adis Fasa II.
Kedua, Jabatan Kerja Raya Kuala Terengganu dalam surat bertarikh 19 Oktober 2020 menyatakan tanah tersebut harus dikekalkan sebagai kawasan lapang sepertimana pelan asal pembangunan.
Ketiga, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu menyatakan permohonan koperasi itu bercanggah dengan ketetapan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu yang telah diwartakan pada 19 Disember 2019 (No. Warta 1700) sebagai zon kawasan lapang. - Laporan Terengganu Coverage