RUMUSAN KES YAB DATO’ SERI AHMAD ZAHID HAMIDI

 
22 Ogos 2023 (SELASA) 
 
SESI PETANG
 
Sesi petang kes pendakwaan terhadap Dato’ Seri Zahid Hamidi bermula dengan memanggil saksi Encik AZHARIZAN BIN YAACOB seorang yang pernah berkhidmat sebagai pengetua di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka daripada tahun 2012 sehingga tahun 2020. 
 
Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Melaka ini adalah sekolah berbentuk aliran akademik dan agama yang juga mempunyai silibus tahfiz iaitu subjek menghafal Al-Quran. Sekolah ini mempunyai lebih kurang 350 orang pelajar dalam lingkukan 13-17 tahun. 

Ust Azharizan semasa memulakan keterangan memaklumkan bahawa pembinaan sekolah ini dibiayai sepenuhnya oleh Dato’ Seri Zahid. Beliau memberitahu bahawa sepanjang sekolah tersebut beroperasi sejak tahun 2012, Dato’ Seri Zahid telah memperuntukkan hampir RM30 juta bagi tujuan operasi dan ini tidak termasuk kos pembinaan sekolah tersebut. 

Ust Azharizan juga memaklumkan hampir setiap bulan Dato’ Seri Zahid akan mengeluarkan cek daripada Yayasan Akal Budi kepada sekolah ini dengan bayaran bulanan sebanyak RM 170 ribu ke RM 200 ribu. 

Menjawab pertanyaan pihak pembelaan, Ust Azharizan mengesahkan bahawa wang bulanan yang disumbang oleh Dato’ Seri Zahid adalah untuk membayar bil-bil sekolah, gaji tenaga pengajar, makanan untuk pelajar dan juga kos-kos operasi sekolah. Sekolah ini adalah sekolah swasta jadi operasi hariannya dibiayai oleh Dato’ Seri Zahid sendiri. 

Ust Azharizan memberitahu mahkamah bahawa sepanjang perkenalan beliau dengan Dato’ Seri Zahid beliau adalah seorang yang amat suka untuk menyumbang kepada jalan agama khususnya untuk tujuan masjid, surau dan pendidikan. 

Ust Azharizan juga memaklumkan beliau sering diberitahu oleh Dato’ Seri Zahid agar tidak diwar-warkan segala sumbangan yang datang daripadanya dan sering menekankan prinsip “apabila tangan kanan memberi, biar lah tangan kiri tidak mengetahui.”

Tetapi pada tahun 2018, Ust Azharizan telah dipanggil oleh SPRM dan sekolah turut disiasat kerana sumbangan disalurkan adalah daripada Yayasan Akal Budi yang kemudian akaunnya telah dibekukan. 

Selepas itu, oleh kerana kos operasi dibiayai oleh Dato’ Seri Zahid, bantuan bulanan tidak dapat lagi diteruskan dan menyebabkan sekolah ini hilang punca kewangan dan kekurangan dana untuk meneruskan operasi. Pihak pengurusan sekolah bersama ibu-bapa pelajar tahfiz dan Dato’ Seri Zahid sendiri telah membuat keputusan bersama untuk meneruskan lagi perjuangan membela sekolah Maahad Tahfiz dan pelajar-pelajarnya. Beberapa tindakan telah dilakukan seperti :

a) menaikkan yuran pelajar dari RM300 (sejak pembukaan) kepada RM700
b) membuat pemotongan gaji guru tahfiz
c) mengurangkan jumlah sesi makan pelajar daripada 6 kali sehari kepada 3 kali sehari
d) Tidak lagi menggunakan penghawa dingin dan hanya kipas sahaja. 

Bagi meneruskan ikhtiar untuk sekolah ini tak ditutup, pihak sekolah mencadangkan untuk operasi sekolah dipindahkan hak kepada Kerajaan Negeri Melaka dan selepas beberapa perbincangan pentadbiran sekolah telah diserahkan kepada Kerajaan Negeri pada bulan Ogos 2020 sebelum Ust Azharizan, seorang pengetua yang telah berkhidmat selama hampir 9 tahun meletakkan jawatan. 

Tetapi Dato’ Seri Zahid yang yakin dengan keupayaan Ust Azharizan mentadbir telah membawa beliau untuk bertugas sebagai pengetua di Maahad Tahfiz Al-Quran Hamidiyah, Bagan Datuk sebagai seorang pengetua sehingga hari ini. Tambahan itu beliau juga mengesahkan bahawa segala perbelanjaan untuk pembinaan Maahad Tahfiz Al Quran Hamidiyah ini ditaja sepenuhnya oleh Dato’ Seri Zahid.

Ust Azharizan juga menyatakan kepada mahkamah Dato’ Seri Zahid yang beliau kenali sentiasa membuat pelbagai sumbangan langsung daripada beliau untuk kerja-kerja amal jariah. Antara sumbangan yang Ust Azharizan maklum adalah seperti pembinaan Masjid Salmah Khamis di Melaka (12 juta), pembinaan Surau Hidayat, Masjid Tanah dan pembinaan dewan di SK Kem Terendak Melaka. 

Ust Azharizan juga menjelaskan dalam sesi soal jawab bahawa Dato’ Seri Zahid telah menghantar tenaga pelajar Maahad Tahfiz di Melaka untuk mengerjakan umrah setiap tahun dan menaja pelajar dan guru cemerlang untuk meneruskan pengajian di Help University dan UPM sebelum berangkat ke luar negara. Ada yang kini belajar di Amerika Syarikat, United Kingdom, Rusia, Jordan, Mesir, Arab Saudi dalam pelbagai bidang. 

Ust Azharizan sekali lagi di akhir bicara menyatakan menyatakan bahawa sekiranya terdapat apa-apa permohonan kepada Dato’ Seri Zahid berkaitan sumbangan amal jariah, beliau pasti akan membantu dalam apa jua bentuk yang beliau mampu. 

Ust Azharizan adalah bekas pelajar Universiti Al-Azhar dalam bidang Al-Quran Wal Qiraat dan mendapat lulusan tahfiz di Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Terengganu. 
- END
Tags

Post a Comment

0 Comments
* Please Don't Spam Here. All the Comments are Reviewed by Admin.